Assalamualaikum

Thursday, January 27, 2011

KATA NASIHAT

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…
Kita menganggap kata nasihat itu merupakan sesuatu yang baik dan hal ini memang tidak dapat disangkal lagi. Namun, adakah kita memberikan sesuatu nasihat ataupun teguran dengan cara yang betul? Kadangkala mungkin kita tidak perasan yang perkara positif yang ingin disampaikan dapat diamati oleh penerima. Sewaktu memberikan nasihat, kita haruslah menepati garis panduan yang betul. Antaranya ialah menggunakan bahasa yang biasa, nada suara yang sopan dan lembut, tutur kata yang tersusun dan sebagainya.
Tetapi, pada hari ini saya melihat satu situasi yang kurang menyenangkan kita semua. Hal ini melibatkan perasaan khalayak, penerima teguran dan masyarakat lain. Situasi berkenaan ditunjukkan dalam dialog di bawah.

Pengawal : “Amoi, saya lihat kamu punya seluar caranya salah. Dari tadi lagi saya perhatikan, seluar itu sangat pendek”. Begitulah bunyi teguran yang dilakukan oleh seorang pengawal kolej kepada seorang pelajar berbangsa Cina. Pengawal tersebut menggunakan nada yang keras sehingga menarik perhatian pelajar yang ada di situ.
Pelajar : “Tapi, seluar saya ni ok je” Jawab pelajar Cina itu sambil membetulkan seluarnya.
Pengawal dengan muka yang agak masam membalas. “ Saya tak kira, kamu pergi tukar segera seluar tu”. Dengan pantas, pelajar terbabit bergegas pulang ke rumah untuk menukar seluarnya.

Dalam hal ini, cara teguran pengawal itu adalah kurang baik. Dia seolah-olah menganggap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar berkenaan adalah sangat besar. Bagi saya tidak salah sekiranya pengawal tersebut menggunakan tutur kata yang bersopan semasa menyampaikan teguran. Walaupun pelajar tersebut berbangsa Cina, rasanya tidak perlu bagi pengawal itu menggunakan gelaran amoi. Banyak lagi kata ganti nama yang lebih lembut untuk menggantikannya.

Wassalam.

Wednesday, January 26, 2011

MARI BELAJAR

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…
Dalam masa sekarang, istilah daerah ataupun lebih dikenali sebagai loghat sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Pelbagai saluran komunikasi yang telah sedia ada sedang memperkembangkan unsur sedemikian dalam kalangan kita. Walaupun kita terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum, namun masing-masing mencuba untuk menyelami atau mempelajari sesuatu loghat. Sebagai contohnya, dalam kelas saya. Terdapat beberapa orang pelajar yang bukan berasal daripada negeri Kelantan ingin mencuba untuk bercakap Kelantan. Misalnya dalam satu dialog tersebut.

Anderian  : “ Tikah, mung wat gapo? Aku nak try cakap Kelate ni”. Tanya Anderian yang berasal dari Sabah mengajukan soalan kepada Ainsyah yang merupakan orang Kelantan.

Dalam hal ini, tergambar suatu nilai yang positif kerana sebahagian daripada kita berusaha untuk menyesuaikan diri mereka dalam situasi tertentu. Sikap ini harus dicontohi kerana selain dapat menambahkan pengetahuan, ia juga akan menjalinkan ikatan silaturrahim sesama kita rakyat Malaysia.

Mari belajar.
agah - berlagak
alik - sebelah
behe - pukul dari sisi
bejebok - limpah
bekeng - garang


blana kokna - sangat banyak
bledo - Agar-agar
bo laa - sudah la
bocong - botol air
dale duo lagi – tak pasti lagi
deghak – bersiar-siar

glecoh - terseliuh
glenya – mengada-ada
glepar - menggelepar
ngakok – merangkak
ngala – mewarnakan
nganying - mempersenda

Wassalam.

Tuesday, January 25, 2011

BUDAYA BERTERIMA KASIH

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Pada hari ini, saya semakin menyedari bahawa dalam diri masyarakat Malaysia masih kurang lagi amalan berterima kasih. Fenomena ini bukan saya perolehi dari jauh tetapi ianya berlaku dalam kehidupan saya hampir setiap hari. Saya berani berkata sedemikian juga kerana ia juga dapat dilihat secara jelas oleh kita semua. Sebagai contohnya, semasa menaiki bas sama ada pergi mahupun pulang dari kuliyah, hanya segelintir sahaja yang meringankan mulut untuk melahirkan rasa terima kasih kepada pemandu bas. Misalnya dalam situasi di bawah:


Bas berhenti di hadapan kampus. Pelajar-pelajar bergegas untuk turun menghadiri kelas. Ada sekumpulan pelajar perempuan turun dengan begitu sahaja. Pemandu bas hanya melihat sahaja.
"Terima kasih pak cik"....ucap seorang pelajar perempuan yang lain sambil tersenyum.
"Sama-sama"...Pemandu bas membalas ucapan itu dan tersenyum sekilas.


Daripada situasi tersebut dapat kita nilaikan sendiri betapa tingginya nilai ucapan terima kasih itu. Apabila kita melahirkan perasaan terbabit, secara tidak langsung mereka akan rasa dihargai. Dengan demikian, walaupun ucapannya hanya 'terima kasih' namun ianya membawa perspektif yang sangat besar dalam masyarakat kita.






Wassalam....

Sunday, January 23, 2011

KOMUNIKASI RUANG SIBER ATAUPUN SMS

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..
Hari ini saya mendapat input yang agak menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita semua. Mungkin kita tidak perasaan tetapi hal tersebutlah yang menjadi cara hidup kita. Situasi itu dinamakan komunikasi ruang siber ataupun juga SMS. Dalam berkomunikasi menggunakan ruang siber mahupun SMS, kita kerap kali menggunakan ayat-ayat tersebut. Antaranya ialah:
- he he he, ha ha ha, isk, hem dan sebagainya.
Sebenarnya dalam menggunakan perkataan itu, terdapat makna yang tersirat di sebaliknya. Misalnya:
he ( he he he) - membawa maksud ketawa,gembira,suka dan mengusik
ha ( ha ha ha)
hi ( hi hi hi )
heh ( heh heh heh )


isk ( isk isk isk ) - membawa maksud sedih, dukacita, menangis
uwaaaaa..a..aaaaaa!!!
ahak ahak ahak
uuu..uuuuuuu...uuuuu
huhuuuuuuuuuuuu


errrr - membawa maksud ragu-ragu
hem
hmmmm


ehem - membawa maksud meminta perhatian


ewah - melakukan seruan


aiya - menyatakan maksud terkejut


aik - melahirkan rasa kehairanan


Perkataan-perkataan ini selalu bermain dalam komunikasi ruang siber dan SMS kita. Dengan cara ini kita dapat mengzahirkan perasaan secara tidak langsung.


WASSALAM

Tidak tahu adat bertandang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Pada hari ini awal-awal pagi lagi saya bersama teman serumah dikejutkan dengan kedatangan seorang tetamu yang tidak diundang. Dia sebenarnya seorang manusia juga macam kami tetapi cara kedatangannya ke rumah kami tidak menepati adat seorang tetamu.
"Tok..tok...tok...
Saya terdengar orang mengetuk pintu. Dalam keadaan yang masih mengantuk, saya membiarkan sahaja. Sehinggalah selepas keluar dari bilik, saya tengok pintu utama rumah kami terbuka. Tiba-tiba sahaja saya rasa pelik sebab selalunya sesiapa pun yang datang ke rumah kami akan menutup pintu selepas memasukinya. Tanpa menunggu lama, saya terus menutup pintu. Dalam pada itu, saya terdengar orang sedang mandi dalam bilik air. Hati saya tertanya sendiri. "siapa yang mandi?" Sedangkan rakan sebilik dan yang lain masih ada dalam bilik masing.
Setelah beberapa lama, saya nampak orang yang tidak dikenali keluar dari bilik air tersebut. Tiba-tiba saya teringatkan budak perempuan yang telah mengacau dua tiga hari lepas. Tambahan pula, dia masuk ke bilik sebelah dan menukar pakaian tanpa meminta izin daripada empunya bilik. Selepas dia keluar dari rumah kami, kami terus mengunci pintu.

Berdasarkan peristiwa tadi, dapat saya simpulkan bahawa kita hendaklah mempunyai adat semasa ingin mengunjungi rumah orang. Sebagai contohnya, memberi salam dan meminta kebenaran untuk mandi mahupun menukar pakaian. Benarlah kata orang, walaupun ilmu pendidikan kita tinggi tidak semestinya ilmu sahsiah diri kita setaraf dengannya.

Saturday, January 22, 2011

BUDAYA MAHASISWI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Catatan saya pada hari ini adalah mengenai sikap segelintir mahasiswa yang berlaku di hadapan saya. Peristiwa itu terjadi sebentar sahaja tadi. Saya yang tinggal di aras lima akan menggunakan lif kerana hendak menggunakan tangga memenatkan. Sedang saya menunggu lif terbuka, datang dua orang perempuan yang berbadan gempal dan seorang lagi bertubuh sederhana. Setelah lif terbuka, kami berempat memasuki lif dan masing-masing hanya diam sahaja. Tiba-tiba sampai aras 1, masuk dua orang lagi. Mereka agak peramah sedikit kerana bercakap tidak berhenti. Lif berhenti di aras 3, dua orang perempuan yang berbadan agak gempal tadi keluar. Selepas mereka berlalu, saya terdengar dua orang perempuan yang mulut becok tadi mula bersembang.

Perempuan 1: Eh, kau tengok pempuan tadi. Aras 3 pun guna lif. Menyusahkan je.
Perempuan 2: Alah..biasalah, tengok body la. 
Selepas itu, mereka ketawa bersama-sama. Saya bersama seorang lagi hanya memerhati gelagat kedua-duanya.


Pada pandangan saya, perlakuan sedemikian mereka sangat tidak wajar sekali. Kita tidak boleh melemparkan hinaan sesuka hati kerana mereka ada hak terhadap kemudahan yang disediakan walaupun mereka tinggal di aras 1 sekalipun. Selain itu, kita bukan sesiapa yang boleh merendahkan ciptaan Allah swt. Jangan kita suka memandang hina kepada mereka yang kurang daripada kita kerana mungkin kita tidak mengetahui yang mereka mempunyai keistimewaan berbanding diri kita sendiri.


Wassalam.

Friday, January 21, 2011

BUDI BAHASA BUDAYA KITA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Pada hari ini, saya menemui satu situasi yang kurang menyenangkan. Saya berkata sedemikian kerana pada petang tadi, saya bersama kawan pergi ke Pekan Tanjong Malim. Selepas hampir menunggu bas dalam setengah jam, kami membuat keputusan untuk menaiki kereta sewa persendirian sahaja. Saya bersama dua penumpang yang lain ada dalam kereta tersebut. Pemandu itu ingin memenuhkan keretanya, dia menunggu seorang pelajar perempuan yang sedang melintas jalan. Mungkin dengan harapan pelajar terbabit ingin menaiki keretanya tetapi ternyata tidak kerana pelajar itu menuju ke tempat menunggu bas UPSI. Apa yang menjadi persoalannya semasa pemandu itu ingin mempelawa pelajar tersebut menggunakan perkhidmatannya, dia macam bersikap acuh tak acuh sahaja. Misalnya dia hanya menggunakan isyarat mata dan kepala. Dalam hal ini, tidak menjadi kesalahan jika pemandu tersebut keluar dan mengajukan pertanyaan dengan bersopan. Mungkin dengan cara itu, ramai penumpang yang akan tertarik dengan sikap positif yang diamalkannya.

Monday, January 17, 2011

MB bersama MAHASISWA

ASSALAMUALAIKUM...salam sejahtera.
Pada awal petang tadi dalam lingkungan masa 2 hingga 6 petang, semua penghuni Kolej Harun Aminurrashid dan kawasan sekitarnya telah menerima kunjungan Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Dr. Zambry Ab.Kadir. Kehadiran tokoh tersebut adalah bersamaan dengan lawatan rasmi beliau ke UPSI. Semasa menyampaikan ucapan, beliau menggunakan bahasa mesra dan tidak terlalu formal. Hal ini amat bersesuaian dengan majlis ramah mesra yang sedang berlangsung.
Selepas memberikan sepatah kata, beliau memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang ingin menanyakan soalan dan melontarkan pendapat. Dalam sesi tersebut, pelbagai jenis bahasa dapat dikesan. antaranya bahasa Inggeris, loghat negeri ( Perak, Kelantan, Sabah, dan Sarawak ).
Namun demikian, sesi soal jawab berlangsung dalam keadaan yang sangat lancar sekali.

YAB. Dato' Seri Dr.Zambry Abdul Kadir

WASSALAM....



Monday, January 10, 2011

INI BLOG UNTUK KURSUS SOSIOLINGUISTIK

Assalamualaikum...
Kehadiran blog ini adalah sebagai tugasan individu dalam kursus Sosiolinguistik Melayu.
Kami sebagai pelajar-pelajar haruslah memenuhi tuntutan tugas dan tanggungjawab tersebut.
Mungkin dengan blog ini kami dapat berkongsi maklumat dan dapat menambahkan ilmu pengetahuan.





Wassalam.