Assalamualaikum

Saturday, February 26, 2011

MAHU BELAJAR

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Dalam kehidupan saya, terdapat kawan-kawan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Antaranya ialah India, Cina, Bidayuh, Iban, dan ramai lagi. Selain daripada itu, walaupun kami ramai dalam kalangan orang Melayu namun kami mempunyai dialek masing-masing. Contohnya dialek Kedah, Terengganu dan yang paling ketaranya ialah dialek Kelantan iaitu negeri kelahiran saya sendiri. 
Apabila hidup dalam kalangan bangsa dan dialek yang pelbagai, banyak perkara menarik yang akan berlaku di sekeliling kita. Keadaan tersebut sama seperti saya apabila beberapa orang kawan saya sedang belajar untuk bertutur dalam dialek Kelantan. Boleh dikatakan setiap hari saya akan dengar mereka cuba bercakap dalam loghat daerah Kelantan. Mungkin bunyinya tidak sama tetapi sudah hampir menyamai dengan ayat asal dialek Kelantan.



Berdasarkan situasi tersebut, kita dapat melihat wujudnya pemahaman dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Walaupun kita lahir daripada agama yang berbeza, namun sikap bertolak ansur dan saling memahami boleh dipupuk agar ia dapat menjadi satu nilai murni. Oleh itu, nilai murni tersebut akan berkembang dan menjadi satu budaya dalam negara kita.



Wassalam.

HORMATI MEREKA.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…
Budaya masyarakat dalam kalangan rakyat Malaysia mempunyai pelbagai versi. Masing-masing dengan pegangan dan kepercayaan yang tersendiri. Bagi masyarakat Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ini mengamalkan subbudaya yang banyak. Bangsa Melayu mempunyai adat resam yang pelbagai. Adat resam tersebut selalu melingkari kehidupan seharian warganya dari seseorang individu itu lahir sehinggalah meninggal dunia. Antaranya ialah adat perkahwinan, adat melenggang perut, adat melahirkan, adat berkhatan dan banyak lagi. Dengan adanya adat, kehidupan masyarakat seolah-olah lengkap. Selain daripada itu, masyarakat Melayu juga mementingkan adab semasa berbicara dengan orang lain. Tanggapan awal terhadap seseorang penutur akan diberikan apabila seseorang itu berbicara. Setiap patah perkataan dan gerak laku yang dilakukannya akan mencerminkan sikapnya yang sebenar. Antara contoh yang terdekat ialah berdasarkan situasi ini.

Terdapat beberapa orang pelajar perempuan ingin berjumpa dengan pensyarahnya bagi bertanyakan soal tugasan.
Pelajar 1: Dr, kumpulan kami diberikan tajuk ************ dalam tugasan ni. Kami ada menyediakan draf tugasan dan kami harap Dr. akan memeriksa dahulu.
Pensyarah : Oh ya, saya rasa kamu kena tambah isi dengan mencari rujukan luar yang lebih banyak. Yang lain saya rasa ok.
Pelajar 2 : Dr. selalunya ok. Tapi apabila kami bentang nanti ada-ada saja yang Dr. akan komen. Suara pelajar perempuan itu sambil mencebikkan muka. Daripada air mukanya, jelas kelihatan yang dia kurang senang dengan  respon yang diberikan oleh pensyarahnya.

Berdasarkan situasi tersebut, tidak wajar tindakan pelajar 2 kerana sikapnya agak kasar apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua daripadanya. Apabila berhadapan dengan orang yang lebih tinggi kedudukannya daripada diri sendiri, kita haruslah lebih menghormatinya selagi beliau menjaga batas-batas pergaulan.



wassalam.

Friday, February 25, 2011

DAYA TARIKAN PELANGGAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Apabila kita mengkaji bahasa seseorang, pasti banyak ragam bahasa yang digunakan. Mereka melakukan keadaan sedemikian adalah bertujuan memperolehi manfaat ataupun sesautu yang dikehendaki. Sebagai contohnya, bahasa perniagaan. Seperti yang kita sedia maklum, bahasa dalam aktiviti perniagaan banyak menggunakan bahasa yang berunsur pujukan dan godaan. Pujukan dalam hal ini bermaksud mereka menggunakan bahasa untuk menjadikan individu lain tertarik dengan barangan ataupun perkhidmatan yang ditawarkan. Antara maklumat yang berkaitan dengan bahasa perniagaan ialah :

Untuk menyampaikan maklumat berkesan
Pemberitahuan fakta yang jelas amat dipentingkan
Ayat ringkas dan pendek (banyak guna kata sifat)
Sifat bahasa adalah imaginatif dan kreatif
Penggunaan bahasa retorik
Tidak mementingkan tatabahasa
Guna pernyataan tertentu

Iklan dapat dihasilkan dengan beberapa cara seperti berikut:
(a) Slogan: Kami Ada Cara
(b) Kaedah Pernyataan: Rumah Untuk Dijual/Disewa
(c) Perkaitan Konsep: Artis X dengan Tilam Jenama Y
(d)Perisytihran: Waja dengan Aksesori Lengkap
(e) Kaedah Umpan: Beli Satu, Percuma Satu
(f) Mesra: Keutamaan Kami Adalah Pelanggan.
(g) Bandingan: Bateri X Lebih Berkuasa dan Tahan Lama
(h) Gesaan: Cepat! Cepat! Datanglah Beramai-ramai
(i) Pertanyaan: Sakit Pinggang? Sapulah Dengan Minyak Angin Z.

**contoh bahasa Iklan yang digunakan**

WASSALAM.....



BAHASA MELAYU TINGGI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…

Saya merasa amat bertuah hari ini kerana dapat mendengar satu wacana daripada Profesor Emeritus Abdullah Hassan yang bertempat di Auditorium Utama UPSI. Majlis ilmu itu dinamakan Wacana Ilmu Bahasa Melayu Tinggi. Dalam ucapannya, beliau menerangkan tentang bahasa Melayu tinggi. Terdapat satu perkara yang menarik perhatian saya. Menurut ucapan Prof., beliau menyatakan bahawa

“Orang perempuan suka memanggil lelaki dengan gelaran abang, walaupun lelaki itu ialah orang Indonesia ataupun Bangla”.
“Sebenarnya, salah orang perempuan sekiranya lelaki-lelaki yang dipanggil dengan panggilan abang itu bertindak sedikit ‘gatal’ dengan mereka”.

Sebenarnya dalam situasi ini, penggunaan kata sapaan ‘abang’ itu adalah tidak bersesuaian. Orang yang diajak bercakap bukannya mempunyai hubungan persaudaraan ataupun abang kandung. Namun demikian, hal ini akan menjadi salah faham yang membawa kepada perkara negatif. Kesimpulannya, gunakanlah kata sapaan yang betul dan sesuai dengan keadaan, masyarakat, dan persekitaran sekeliling.

Wassalam…

I WANT COFFEE PLEASE!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…
Kadang kala tindakan kita akan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pihak yang lain. Walaupun kita telah melakukan sebaik mungkin, masih lagi dapat dikesan kelemahan yang ada. Kita hanya mahu melayan orang lain sebaik mungkin dan semampu yang boleh. Hal ini demikian boleh digambarkan dalam situasi di bawah.

Petugas Kaunter :“Hello sir, can I help you?” tanya petugas perempuan sebaik sahaja melihat seorang mat salleh yang menghampiri kaunter.
Pelanggan            : “ I want coffee please”. Jawab pelanggan itu.
Petugas Kaunter :”Sorry sir, we have no coffee. But we still have tea, milk, nescafe and lemon tea”. Terang petugas lagi.
Pelanggan            :”I don’t want. I want coffee please”. Minta pelanggan mat salleh tadi dengan wajah yang tidak berpuas hati.
Petugas Kaunter :”Sir….”
Pelanggan            :” You dumb, go to hell”. Marah pelanggan tersebut sambil beredar.

Berdasarkan situasi di atas, dapat kita rumuskan bahawa walaupun kita berlainan bangsa dan agama kita harus mengamalkan nilai-nilai murni. Antaranya seperti sopan, peramah, sabar dan sebagainya. Sikap petugas kaunter boleh dicontohi kerana dia menunjukkan sikap yang peramah apabila melayan pelanggan yang hadir. Sikap yang lembut dan sopan dilihat daripada gaya percakapannya. Namun, pelanggan tersebut tidak mempunyai nilai yang baik kerana mudah marah ataupun tidak sabar, jangankan akan mengucapkan ucapan terima kasih kepada petugas kaunter. Oleh hal yang demikian, sebagai seorang individu yang sarat dengan  nilai murni akan disukai oleh orang lain. 


wassalam...

Sunday, February 13, 2011

TANGGUNGJAWAB MASYARAKAT...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…
Semasa dalam keretapi ketika pulang ke Tanjong Malim dari Butterworth, saya dapat memerhatikan gelagat pengguna yang kadang-kala mencuit hati dan tidak terkecuali juga menimbulkan rasa kurang senang.

Situasi 1.
Dalam situasi ini, terdapat satu keluarga yang mengambil tempat paling hadapan dalam gerabak tersebut. Si ibu sibuk melayan kerenah anak yang masih bayi dan si ayah membuat hal sendiri. Dua anak yang lain masing-masing berlari-lari dalam keretapi tersebut. Si ayah hanya memandang gelagat anak-anak dengan pandangan yang bersahaja. Matanya tertumpu kepada rancangan di kaca televisyen. Hanya si ibu sahaja yang bertungkus-lumus menyusukan anak, menegur kerenah anak yang kadang-kala boleh mengganggu ketenteraman penumpang yang lain.

Berdasarkan situasi ini, peranan ibu sahaja tidak mencukupi kerana anak-anak juga memerlukan perhatian daripada insan yang bergelar bapa. Oleh hal yang demikian, si ayah dalam situasi tadi tidak patut melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada isteri. Hidup bekerjasama harus ada dalam mendidik anak-anak. Tindakan berpeluk tubuh dan lepas tangan akan memberi anggapan yang negatif kepada penumpang yang lain. 


wassalam....

Saturday, February 12, 2011

BUDAYA KITA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hari Valentines yang menjadi budaya sesetengah golongan masyarakat telah lama berlalu. Namun demikian, tidak menjadi kejanggalan sekiranya saya mengimbau kembali situasi yang amat menarik perhatian saya ini.

Perempuan 1 :”Eh, esok Valentines Day, korang nak celebrate ngan pakwe korang kat mane?”. Tanya seorang perempuan ni kepada dua orang lagi kawannya.
Perempuan 2 : “Alah ko ni, macam tak biase. Kite sambutlah kat KL, baru meriah sedikit”. Balas kawannya sambil ketawa menunjukkan yang mereka amat menantikan sambutan hari tersebut.

Perempuan-perempuan tersebut merupakan seorang individu yang bergelar mahasiswi. Terlintas dalam benak fikiran saya adakah mereka tidak tahu bahawa itu bukan budaya kita Islam. Ya, memang bukan kerana mereka semua beragama Islam kerana ketiga-tiganya memakai tudung yang manis dipandang. Pada masa ini banyak sumber yang boleh dijadikan rujukan tentang penerangan akan hal tersebut. 

WASSALAM.

Friday, February 11, 2011

BAHASA JIWA BANGSA

Assalamualaikum  dan Selamat Sejahtera…
Kehidupan seharian kita kadang-kadang memerlukan penggunaan konteks ayat yang betul. Dengan demikian, sesuatu ujaran yang dihasilkan akan memberikan kefahaman yang jelas kepada orang lain. Namun demikian, penggunaan konteks ayat ataupun perkataan sering kali disalah gunakan oleh masyarakat. Kesilapan sedemikian dapat saya perhatikan dalam ucapan seseorang yang mempunyai pangkat yang berpengaruh dalam salah satu badan kerajaan. Sebagai contohnya,

“Masalah yang timbul dari kalangan kita adalah sangat membimbangkan sekali”.

Daripada sebaris ayat tersebut, kita dapat mengenal pasti penggunaan perkataan dari kalangan yang tidak sesuai.  Perkataan ataupun kata sendi dari seharusnya merujuk kepada ujaran terhadap sesuatu tempat bukannya unsur lain. Sepatutnya,

“Masalah yang timbul dalam kalangan kita adalah sangat membimbangkan sekali”.

Begitu juga dengan penggunaan bahasa asing khususnya  bahasa Inggeris dalam ayat ataupun ujaran. Dalam ucapan beliau yang berselang seli dengan perkataan bahasa Inggeris mungkin akan mencemarkan keindahan bahasa kebangsaan kita. Misalnya,

Next, kita akan ke slide seterusnya”.

Secara kesimpulannya, gunakanlah bahasa Melayu secara keseluruhannya. Tidak janggal sekiranya kita mengamalkan bahasa kita sendiri kerana ia juga akan mencerminkan peribadi kita.
BAHASA JIWA BANGSA…


Wassalam.

Wednesday, February 9, 2011

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Saya baru pulang daripada membeli barang di sebuah kedai runcit berdekatan dengan kolej kediaman. Semasa di kedai tersebut, saya dapat melihat betapa sikap peniaga yang sangat mengecewakan. Tidak salah rasanya sekiranya kita menjawab sesuatu pertanyaan yang diajukan dengan terang dan baik. Hal ini demikian kerana, sikap yang ditunjukkan akan mempengaruhi emosi dan anggapan pelanggan. Antara situasi yang dimaksudkan ialah:

Pelanggan : "Di mana sudu ais krim ni?" Tanya seorang pelanggan yang sedang memilih ais krim yang ingin dibeli. Namun, peniaga tidak mengendahkan pertanyaan itu dan berjalan dengan bersahaja.
Pelanggan mengulangi pertanyaan yang sama, tetapi kali ini nasib baik ada seorang lagi peniaga yang lebih menghargai pelanggan.
Peniaga : "Ada kat kaunter". Jawab peniaga ringkas. Dengan perasaan puas hati, pelanggan menuju ke kaunter dan menjelaskan bayaran.
*sekadar gambar hiasan*


Dalam situasi sedemikian, seseorang itu hendaklah menghargai orang lain. Walaupun orang yang memerlukan perkhidmatan dan pertolongan kita itu hanya seorang yang biasa-biasa sahaja. Dengan cara ini, belajarlah untuk bersopan-santun dan menghargai perasaan orang lain.

Tuesday, February 8, 2011

DARI MANA DATANGNYA GELARAN ITU?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Kita telah sedia maklum bahawa sesuatu gelaran yang diberikan mestilah mempunyai kaitan dan sebabnya. Antara gelaran yang biasa kita ketahui ialah Dato', Profesor, Doktor, dan sebagainya. Setiap gelaran yang diberikan mempunyai jenis-jenis yang tertentu. Gelaran ini diambil berdasarkan warisan, akademik, keluarga, dan agama. Antaranya adalah seperti contoh di bawah:

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Tan Sri Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd. Yassin


Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim


Dr Sheikh Muszaphar Shukor

Namun demikian, pada hari ini saya bersama rakan sekuliah yang lain diajukan dengan satu soalan yang membelenggu minda kami.
Hal ini demikian berdasarkan gelaran 'Tuan Guru' yang telah digunakan oleh orang ramai terhadap seorang pemimpin. Perkataan Guru yang menjadi persoalan kepada kami. Adakah gelaran itu daripada gelaran akademik?, warisan?, keluarga?, mahupun agama?.

Marilah sama kita merungkai persoalan tersebut...

Wassalam.