Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…
Semasa dalam keretapi ketika pulang ke Tanjong Malim dari Butterworth, saya dapat memerhatikan gelagat pengguna yang kadang-kala mencuit hati dan tidak terkecuali juga menimbulkan rasa kurang senang.
Situasi 1.
Dalam situasi ini, terdapat satu keluarga yang mengambil tempat paling hadapan dalam gerabak tersebut. Si ibu sibuk melayan kerenah anak yang masih bayi dan si ayah membuat hal sendiri. Dua anak yang lain masing-masing berlari-lari dalam keretapi tersebut. Si ayah hanya memandang gelagat anak-anak dengan pandangan yang bersahaja. Matanya tertumpu kepada rancangan di kaca televisyen. Hanya si ibu sahaja yang bertungkus-lumus menyusukan anak, menegur kerenah anak yang kadang-kala boleh mengganggu ketenteraman penumpang yang lain.
Berdasarkan situasi ini, peranan ibu sahaja tidak mencukupi kerana anak-anak juga memerlukan perhatian daripada insan yang bergelar bapa. Oleh hal yang demikian, si ayah dalam situasi tadi tidak patut melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada isteri. Hidup bekerjasama harus ada dalam mendidik anak-anak. Tindakan berpeluk tubuh dan lepas tangan akan memberi anggapan yang negatif kepada penumpang yang lain.
wassalam....
No comments:
Post a Comment