Assalamualaikum

Tuesday, March 8, 2011

BAHASA KANAK-KANAK.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Zaman kanak-kanak merupakan satu zaman yang sangat indah. Semasa zaman ini, kita akan dilayan sebaiknya dan sekiranya kemahuan kita bersesuaian, kehendak kita itu akan dipenuhi. Maka, bersorak gembiralah kita bersama kawan-kawan dan keluarga. Saya melihat satu situasi yang dapat mengimbau kembali zaman kanak-kanak dahulu.
Semasa mendengar ceramah Ustaz Akhil Hay malam tadi, saya melihat gelagat seorang kanak-kanak lelaki bersama-sama dengan kakaknya. Ayah dan ibunya ada bersama, namun mereka lebih memberikan tumpuan kepada isi ceramah yang diadakan. Telatahnya yang ceria dan riang berjaya menarik perhatian saya. Apabila si kakak tidak mengikut kemahuannya, si adik akan cuba menarik baju si kakak agar bermain dengannya. Si kakak dengan rasa prihatinnya mengikut sahaja kemahuan si adik. Sekali sekala, ayah dan ibu memerhatikan tingkah laku dan keadaan anaknya agar tidak bermain jauh dari pandangan. Apabila si anak yang masih kecil berada agak jauh, si ibu akan mengikuti anaknya dan membawa dekat dengan si ayah. Namun, si anak yang lincah sikapnya tidak suka duduk diam, ada sahaja perkara yang ingin dilakukannya. Si ayah dan ibu hanya bersabar dengan gelagat si anak tadi.


Berdasarkan situasi tersebut, kita dapat melihat bagaimana seorang kanak-kanak cuba berbahasa dengan menggunakan tindakan yang disukai oleh orang lain agar mengikut kemahuannya. Misalnya, tindakan si adik yang menarik baju si kakak menggambarkan kepada kita bahawa dia mahu kakaknya bermain dengannya. Oleh hal yang demikian, orang kedua dapat mengerti dengan tindakan tersebut.


Wassalam.

No comments:

Post a Comment