Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Hari ini saya membaca satu tajuk dalam buku Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu yang berbunyi PEPATAH. Saya cukup tertarik untuk mengetahui sekitan nota yang boleh dijadikan panduan kepada saya bagi menambahkan ilmu di dada. Buku yang dikarang oleh En. Abdullah Yusof bersama dua orang lagi pensyarah lain padat dengan isi-isi penting. Hasil kutipan daripada tokoh-tokoh bahasa lain dapat menguatkan lagi pendapat yang cuba diketengahkan oleh beliau dalam buku tersebut.
Pepatah merupakan salah satu daripada jenis peribahasa. Pepatah boleh dianggap sebagai warisan zaman dan mengandungi aspek adat-istiadat, undang-undang, peraturan dalam masyarakat dan sebagainya. Contoh-contoh yang diberikan dapat difahami dengan jelas kerana diselitkan dengan maksud pepatah dan ayat sekali.
Antara contoh pepatah Melayu seperti berikut:
Pepatah Melayu | Maksudnya |
Ditelan mati emak, diluahkan mati bapa. | Susah memilih kerana kedua-dua pilihan sama penting. |
Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. | Orang besar-besar berselisih, rakyat yang menderita. |
Guruh tak berbunyi, malang tak berbau. | Kemalangan berlaku tanpa diketahui terlebih dahulu. |
Harapkan pagar, pagar makan padi. | Percaya akan orang yang mengkhianati kita. |
Kalah jadi abu, menang jadi arang. | Kedua-dua pihak yang berkelahi sama-sama menanggung kerugian tidak kira siapa yang menang atau siapa yang kalah. Kedua-duanya hangus. |
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. | Orang yang pandai akan melakukan kesalahan sesekali. Kalau orang itu pandai melakukan jenayah, sekali jatuh pun cukuplah susah. |
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. | Bekerjasama dan saling menolong. |
Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain. | Sedikit demi sedikit, lama-lama berhasil juga. |
Biar putih tulang, jangan putih mata. | Rela mengorbankan nyawa daripada menanggung malu. |
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. | Orang yang bercita-cita akan berusaha mencapainya. |
Genggam bara api, biar sampai jadi arang. | Bersabar melakukan kerja yang susah sehingga berjaya. |
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. | Kejayaan tidak akan datang begitu sahaja tanpa berusaha. |
Takut kerana salah, berani kerana benar. | Berasa takut kerana melakukan kesalahan, sebaliknya jika benar, berasa berani. |
Buang yang keruh, ambil yang jernih. | Buang yang jahat, ambil yang baik. |
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. | Lakukan kerja yang baik biarlah ada batasnya tetapi jangan melakukan kejahatan. |
Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga. | Budi baik dikenang walaupun orangnya sudah mati. |
Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. | Semakin banyak wang/ilmu, orang itu semakin merendahkan diri. |
Jika kerbau dipegang pada talinya, jika manusia dipegang pada janjinya. | Janji mesti ditepati. |
Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. | Menunjukkan kesyukuran atas pemberian kepada kita. |
Orang haus diberi air, orang lapar diberi nasi. | Mendapat sesuatu yang diingini. |
Wassalam.
No comments:
Post a Comment